Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedia membantu kakitangan syarikat-syarikat penerbangan yang terjejas akibat diberhentikan kerja.

Dalam satu kenyataan pertubuhan itu memaklumkan, bantuan yang diberikan adalah berserta dengan faedah-faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang sedia ada dan juga bantuan kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menurutnya kenyataan itu, SIP PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan penggantian pendapatan menerusi Elaun Mencari Pekerjaan untuk tempoh satu hingga enam bulan.

“Selain itu, mereka juga akan turut dibantu mendapatkan pekerjaan baharu menerusi Program Penempatan Pekerjaan Semula.

“Untuk meningkatkan keboleh pasaran pekerja-pekerja yang telah kehilangan pekerjaan, Perkeso menyediakan Latihan Vokasional dan Kemahiran bagi mengukuhkan kepakaran dan pengetahuan mereka.

“Kursus-kursus latihan dan kemahiran dibiayai oleh Perkeso sehingga RM4,000 manakala, peserta akan menerima elaun latihan sebanyak RM10 hingga RM20 sehari untuk tempoh maksimum enam bulan,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah Perkeso lagi, pertubuhan itu juga akan menyalurkan bantuan kerajaan melalui inisiatif Penjana iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja menerusi platform MYFutureJobs.

Program itu juga katanya, turut menyediakan latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling).

Majikan yang menggajikan pekerja melalui program berkenaan boleh menghantar pekerja-pekerja mereka menjalani kursus latihan secara percuma untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kecekapan dalam melaksanakan tugas baru.

“Seperti kebiasaannya, Perkeso mengambil tindakan proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada pekerja walaupun mereka belum mengemukakan permohonan faedah kepada Perkeso.

“Baru-baru ini, Perkeso melaksanakan satu program temuduga terbuka secara maya pada 22 dan 23 Oktober 2020, walaupun pekerja-pekerja terbabit belum mengemukakan lagi borang permohonan untuk faedah SIP,” ujarnya.

Jelas pertubuhan itu lagi, matlamat Perkeso adalah untuk memastikan segala bantuan yang ada, boleh disalurkan dengan kadar segera.

Justeru Perkeso menasihatkan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pemberhentian kerja seperti Skim Pemisahan Sukarela VSS atau MSS dan sebagainya, supaya melayari laman web pertubuhan itu di www.perkeso.gov.my bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung faedah-faedah SIP ataupun
PENJANA.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian careline Perkeso di 1300-22-8000 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette