Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan telah menerima lebih 170 cadangan hasil pertemuan dengan ahli-ahli politik berhubung Belanjawan 2021.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, secara amnya cadangan-cadangan tersebut tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan Covid-19 menjelang 2021.

Antara sektor yang menerima cadangan tertinggi katanya adalah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif.

“Sejak bulan Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih dua ribu individu dan wakil perniagaan.

“Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah Kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan ke dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada hari Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, setakat ini Kementerian Kewangan telah menerima lebih 6,600 cadangan daripada konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan serta melalui laman web Belanjawan 2021.

Menurut Tengku Zafrul, sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama ahli politik telah dijalankan bermula 30 Oktober lalu sehingga hari ini melibatkan 29 ahli Parlimen yang mewakili pelbagai parti seperti UMNO, MCA, Pas, Gabungan Pari Sarawak, PKR, Amanah, DAP, Warisan dan seorang ahli Parlimen bebas. – MalaysiaGazette