Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengemukakan 10 cadangan khususnya untuk kementerian itu dengan mengambil kira keperluan golongan belia dan sektor sukan negara berdepan cabaran wabak Covid-19.

Steven Sim berkata, 10 cadangan ini ialah tambahan kepada Belanjawan Perpaduan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan dan DAP.

Cadangan-cadangan tersebut ialah melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik PTPTN selama enam bulan lagi selepas Disember 2020 dan menyelaraskan semula had gaji minimum kepada RM4,000 sebelum pembayaran balik dimulakan.

Kedua memberi pelepasan cukai pendapatan bagi pembelian komputer dan alat bantuan pembelajaran atas talian sehingga dua orang anak setiap isi rumah serta menerus dan mengembangkan dasar MalaysiaKerja untuk memberi insentif pengambilan pekerja kepada majikan dan pekerja untuk mengurangkan pengangguran belia, katanya.

Cadangan seterusnya membina rumah mampu milik untuk golongan belia melalui pembangunan semula tanah-tanah terbiar kerajaan terutamanya yang melibatkan kemudahan belia dan sukan yang terbengkalai. Projek pembangunan ini boleh dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta melalui kaedah tender terbuka.

Selain itu, meningkatkan insentif peningkatan kemahiran kendiri sehingga RM500 sebulan kepada belia yang mengikuti sebarang program, kursus dan latihan berasaskan peningkatan kemahiran kendiri untuk tujuan pekerjaan dan perniagaan.

Steven turut meminta supaya Geran Khas Prihatin RM3,000 one-off untuk merangkumi golongan belia yang berminat dan serius untuk memulakan perniagaan kecil diperluaskan serta geran Khas One-Off sehingga RM100,000 untuk Persatuan-Persatuan Belia Kebangsaan di bawah MBM bagi aktiviti belia berkaitan pengurusan Covid-19, serta meningkatkan geran aktiviti untuk persatuan-persatuan belia di semua peringkat.

Dana Kelangsungan Perniagaan Industri Sukan juga dicadangkan untuk perniagaan berkait dengan industri sukan dan rekreasi seperti pengusaha gim, gelanggang futsal, terapi sukan, kejurulatihan, peralatan sukan dan sebagainya yang terjejas disebabkan krisis Covid-19.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam mahu kerajaan mempertimbangkan Geran Khas One-Off sehingga RM100,000 untuk Persatuan Sukan Kebangsaan dan geran aktiviti untuk persatuan sukan lain di semua peringkat bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan dan RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Beliau turut mencadangkan pelepasan cukai kepada syarikat yang memberikan keahlian gimnasium ataupun kelab sukan yang lain kepada pekerja mereka, menganjurkan program sukan dan menaja sukan, untuk menggalakkan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental.

Steven berkata, walaupun bukan semuanya di bawah bidang kuasa KBS, perkara-perkara yang dicadangkan ini memberikan kesan secara langsung kepada sektor belia dan sukan.

Bagi membiayai 10 cadangan ini, belanjawan sedia ada KBS boleh diperuntukkan semula disebabkan program-program besar yang mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan, contohnya MFLS (RM100 juta), dan melalui peruntukan-peruntukan khas daripada cukai gula (RM30 juta), cukai permainan dan sebagainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast