KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat bersetuju sesi Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari.
Usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan untuk memendekkan waktu persidangan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis ini dipersetujui hampir semua Ahli Parlimen yang hadir.
Selain itu, Takiyuddin turut mengemukakan usul kedua, iaitu persidangan kamar khas bermula pagi ini hingga Khamis ini diawalkan dari jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari atau sehingga selesai aturan mesyuarat kamar khas.
Langkah memendekkan waktu persidangan diambil bagi mengekang penularan Covid-19 daripada merebak, berikutan ada laporan mengatakan, beberapa kakitangan Dewan Negara telah disahkan positif wabak itu.
Selepas mendengar dua usul itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendapatkan persetujuan Ahli Parlimen dan majoriti yang hadir bersetuju.
Semalam, Takiyuddin mengemukakan usul untuk memendekkan waktu persidangan sepanjang mesyuarat sehingga 15 Disember ini, tetapi dibantah oleh sebahagian besar Ahli Parlimen dari blok pembangkang.
Serentak itu, beliau mengubah keputusan itu dan akan mengemukakan usul berkenaan secara harian, iaitu pada hari persidangan. – MalaysiaGazette
















