Beberapa penduduk dilihat mengharung air selepas kawasan perumahan mereka dinaiki banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT – Kira-kira 114 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di sekitar Hulu Langat telah ditempatkan di dua pusat sementara yang dibuka, di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10.

“Di sini sahaja dimaklumkan kepada saya 64 keluarga telah ditempatkan di sini sejak pagi tadi dan ada 50 keluarga di balai penghulu.

“Keseluruhan lebih 100 keluarga di sini 64 keluarga dan sana 50 atau jumlah 114 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, di sini, hari ini.

Penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat ditempatkan di pusat pemindahan sementara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

Terdahulu, penduduk sekitar Hulu Langat hampir terputus hubungan apabila jalan utama di Kampung Sungai Serai dan Kampung Dusun Nanding serta sekitarnya ditenggelami air dalam kejadian banjir akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Dalam pada itu, tujuh badan bukan kerajaan (NGO) turut sama membantu mangsa banjir yang terjejas termasuk bantuan barang keperluan, pelitup muka dan cecair nyahkuman.

“Di samping itu Kerajaan Negeri akan melihat sokongan bantuan RM500 yang tertakluk dalam urus tadbir bencana di peringkat negeri Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor juga akan memastikan keselamatan penduduk yang berada di pusat pemindahan sementara itu bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Kita juga nak pastikan agar penduduk di sini dijaga terutamanya ketika Covid-19 supaya ia tidak jadi epic centre.

“Saya tengok ada NGO sampaikan bantuan topeng muka dan sokongan hand sanitizer dan perkakas lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette