Petugas Kementerian Kesihatan melakukan persiapan dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tugas pemeriksaan saringan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah Flat Pelangi, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan 6,000 kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melebihi sasaran yang dibuat oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berikutan langkah kementerian memperlipatgandakan usaha di lapangan.

“Kalau universiti menjangka 5,000 dalam tempoh dua minggu, kita sasar 6,000 kes dalam tempoh seminggu,” katanya pada sidang media Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan penyelidik USM yang memberi amaran terdapat peningkatan kes baharu sehingga 5,000 dalam tempoh dua minggu selain menjangkakan pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19.

Dr Noor Hisham menambah, KKM ketika ini memerlukan masa sehingga tiga minggu untuk melandaikan lengkungan jangkitan.

“Kita jangka nilai kebolehjangkitan pada paras 0.5 ketika itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya yakin sasaran lengkungan landai dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.

“Kita boleh capai sasaran itu sekiranya ada kerjasama padu daripada rakyat Malaysia untuk bersama-sama bantu KKM dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – MalaysiaGazette