Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Bayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi fasa ketiga dan keempat akan dibuat ke dalam akaun veteran-veteran tentera yang terlibat mulai esok.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Pertahanan masih berusaha untuk mendapatkan persetujuan kerajaan supaya bayaran elaun PJM dilaksanakan secara bulanan dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-10

“Semasa pembentangan Bajet 2020 pada 11 Oktober 2019 yang lalu, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM 500.00 secara one-off (sekali bayaran) kepada hampir 70,000 penerima.

“Pembayaran Elaun Kenangan ini telah selesai dilaksanakan dalam 2 fasa pada bulan Februari dan Mac 2020 yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM 35 juta.

“Namun masih terdapat seramai 51,816 veteran ATM yang baru berdaftar dan layak untuk menerima elaun one-off ini.

“Pihak kementerian telah memohon peruntukan tambahan dan sukacita dimaklumkan bahawa pembayaran kepada veteran-veteran yang baru berdaftar ini akan dilaksanakan mulai 5 November 2020 ke dalam akaun veteran-veteran yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Baki pembayaran elaun PJM secara one-off ini juga bertepatan dengan hasrat saya dalam membantu meringankan beban veteran ATM berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menyeru syarikat-syarikat korporat dan orang ramai untuk terus menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan yang masih berlangsung sehingga 31 Disember 2020. Sumbangan boleh dihulurkan melalui portal KTP melalui pautan https://tabungpahlawan.jhev.gov.my atau terus menyumbang di Affin Bank nombor akaun 1059 5000 3201, Maybank nombor akaun 5643 4262 2956 atau CIMB Bank nombor akaun 8604271571. -MalaysiaGazette