Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan para penghuni Plaza Hentian Kajang bagi melakukan saringan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Prestasi kutipan hasil dijangka menerima kesan negatif berikutan aktiviti ekonomi domestik yang perlahan dan anggaran harga minyak mentah dan anggaran harga minyak mentah yang rendah susulan pandemik Covid-19.

Pengurangan kutipan hasil yang dianggarkan sekitar 20% berbanding anggaran belanjawan sebahagiannya akan ditampung oleh dividen tambahan dan bayaran khas daripada entiti kerajaan seperti Petroleum Nasional Berhad (Petronas), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Jumlah unjuran hasil disemak lebih rendah iaitu RM227.3 bilion atau 15.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding anggaran belanjawan sebanyak RM244.5 bilion, menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021.

Walau bagaimanapun, jumlah perbelanjaan dijangka meningkat sebanyak 6% atau RM17.7 bilion kepada RM314.7 bilion berbanding anggaram belanjawan sebanyak RM297 bilion.

Peningkatan bersih ini berpunca daripada suntikan rangsangan fiskal dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM38 bilion dan diimbangi oleh penjimatan daripada perbelanjaan sebanyak RM20.3 bilion.

Penjimatan ini diperoleh daripada semakan semula program dan projek sedia ada serta pengurangan perbelanjaan daripada anggaran belanjawan.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM9.3 bilion merupakan penjimatan perbelanjaan mengurus (OE) merangkumi subsidi bahan api, bekalan dan perkhidmatan serta pemberian kepada badan berkanun manakala RM11 bilion pula diperoleh daripada perbelanjaan pembangunan (DE) berikutan semakan dan penjadualan semula beberapa projek susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perbelanjaan mengurus dijangka berkurangan sebanyak 5.9% kepada RM226.7 bilion berbanding anggaran asal sebanyak RM241 bilion terutama penjimatan dan klasifikasi semula beberapa item berkaitan pembangunan.

Menurut tinjauan ini, perbelanjaan pembangunan dijangka berkurangan 11% kepada RM50 bilion berbanding anggaran belanjawan RM56 bilion, setelah mengambil kira pengurangan perbelanjaan dan klasifikasi semula beberapa item berkaitan pembangunan daripada OE.

Perbelanjaan untuk pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi di bawah Kumpulan Wang Covid-19 yang baharu berdasarkan peruntukan sebanyak RM38 bilion dan baki peruntukan dibawa ke tahun berikutnya. – MalaysiaGazette