Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berusaha untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Mahathir berkata, kerajaan beralasan jika darurat tidak diisytiharkan sebelum Isnin lalu, pasaran saham akan jatuh merudum.

“Saya difahamkan pihak kerajaan masih berusaha untuk isytihar darurat di negara tercinta ini.

“Mengikut hujah mereka kononnya negara berada dalam keadaan krisis, dengan 10,000 anggota polis diserang Covid-19, satu juta orang asing sudah melanda negara ini dan kononnya jika darurat tidak diisytihar sebelum Isnin, 2 November, pasaran saham akan jatuh merudum,” katanya dalam blognya hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir mempertikaikan sama ada pengisytiharan darurat mampu untuk mengurangkan kes positif Covid-19.

Malah beliau turut mempersoalkan mengapa  Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dalam mengurangkan kes Covid-19 tanpa pengisytiharan darurat.

“Apakah yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dengan kuasa penuh dari darurat yang tidak boleh dilakukan sekarang.
Belanjawan pun boleh dilulus oleh Parlimen tetapi takkanlah tanpa melihat belanjawan, kita luluskan belanjawan.

“Itu seperti menandatangan cek kosong (blank cheque). Kita percaya pada Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri adalah manusia biasa – mungkin tersilap. Kita juga ada idea yang baik yang boleh dimasukkan. Selepas itu kita luluslah,” katanya lagi.

Mahathir juga berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin manakala sekurang-kurang 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif Covid-19 juga tidak boleh dijadikan alasan untuk melaksanakan darurat.

Ujarnya, kenyataan itu sangat berbeza dengan kata-kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador yang berkata kes itu hanyalah jumlah kumulatif.

“Saya tidak tahu benar atau tidak 10,000 anggota polis diserang Covid-19. Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kata 10,000 anggota dan pegawai polis telah dikuarantin, dan 200 disahkan positif.

“Ya! 10,000 anggota polis diserang Covid-19 menggerunkan kita tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador dilapor berkata jumlah tersebut adalah kumulatif dari bulan Mac. Jadi bukanlah 10,000 pada satu masa! Laporan Hamzah tidak sebut perkara ini,” katanya lagi.

Pada 25 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Ketetapan itu diputuskan hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Sebelum ini, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet. -MalaysiaGazette

4 Komen

  1. rakyat dakwa tun mahathir sudah gila dan nyanyok.
    rakyat sudah muak dengan mathir gila kuasa ni..
    jirr

  2. Madey dan 7 keturunan nya telah di caci dan di cerca oleh Mahsuri Langkaew kerana sifat madey suka menipu rakyat..

Comments are closed.