KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menafikan khabar angin kononnya beliau akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang baharu.

“Palsu,” jawabnya ringkas menerusi satu mesej bergambar yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApps kepada Utusan Online di sini hari ini.

Khabar angin itu dikatakan tular di beberapa portal berita serta laman sosial.

Afif sebelum ini dikenali sebagai antara orang kepercayaan kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Jasa dihidupkan semula dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 semalam.

Peruntukan yang disifatkan agak tinggi itu bagaimanapun menimbulkan polemik serta rasa tidak senang dalam kalangan rakyat serta sebilangan ahli Parlimen lain khususnya pembangkang. – MalaysiaGazette