Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,168 kes baharu Covid-19  dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kesemuanya kini sebanyak 39,357 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,666 kes.

Sabah mencatatkan sebanyak 616 kes atau 52.7 peratus daripada keseluruhan kes positif manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 275 kes atau 23.5 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mencatatkan sebanyak 104 kes positif (8.9 peratus) pada hari ini.

Jelas beliau, kelima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menyumbang sebanyak 995 kes atau 85.2 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sebanyak 229 kes atau 19.6 peratus yang dilaporkan adalah berkaitan kluster- kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ia melibatkan Kluster PTS Tawau sebanyak 121 kes, Kluster Penjara Sandakan (91 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Tembok (6 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai sebanyak tiga kes.

“Daripada 1,168 kes baharu pada hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kesemua kes yang dilaporkan merupakan kes penularan Covid-19 dalam negara,” katanya.

Noor Hisham menambah, negara turut mencatatkan bilangan kes pulih virus itu sebanyak 1,029 kes yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 27,409 kes atau 69.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 87 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette