Manchini positif Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya di Rom.

MILAN – Jurulatih pasukan Itali, Roberto Mancini diuji positif Covid-19 dalam saringan baharu semalam.

Bekas Pengurus Manchester City berusia 55 tahun itu dikesan positif tetapi tidak bergejala.

Laporan di Itali memberitahu bahawa dia kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Rom.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) mengesahkan Mancini disahkan positif semasa pemeriksaan dilakukan ke atas staf teknikal pasukan itu.

Kini Itali mempunyai tiga aksi antarabangsa untuk dua minggu akan datang iaitu aksi persahabatan di tempat sendiri menentang Estonia dan dua aksi Liga Kebangsaan menentang Poland dan Bosnia.

Mancini sebelum pernah mengendalikan pasukan Inter Milan untuk menjulang gelaran Serie A selama tiga musim berturut-turut sebelum menyertai Manchester City.

Bersama pasukan the Sky Blue itu Mancini membantu kelab berkenaan menjulang Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dala tempoh 46 tahun pada 2012 dan Piala FA pada 2011.

Dia mengambil alih tugas pasukan Itali pada tahun 2018 ekoran kegagalan pasukan kebangsaan itu mara ke Piala Dunia 2018 dan membantu mereka menang kesemua 10 aksi kelayakan Piala Euro 2020.- MalaysiaGazette