Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Nampaknya peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dikritik oleh pimpinan pembangkang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, JASA – unit yang ‘dimatikan’ semasa pemerintahan Pakatan Harapan -mendapat peruntukan RM85.5 juta.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, masih belum terlewat untuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerap semula dana itu untuk memenuhi keperluan mendesak yang lain.

“Masih belum terlewat buat Menteri Kewangan menyerap dana propaganda bagi memenuhi keperluan mendesak dalam bidang perubatan, pendidikan dan bantuan kebajikan,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Semalam, Nurul Izzah mempertikaikan peruntukan kepada unit propaganda kerajaan dalam keadaan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan harian.

“Realiti hari ini: rakyat tiada wang yang cukup untuk perbelanjaan runcit walaupun pertumbuhan dalam negara, kata JASA, makin kukuh.

“Mana mungkin pegawai JASA tahu – mereka masih mendapat elaun tinggi dan terus dijaga walau ekonomi rakyat sebenar semakin suram,” ujarnya.

Kritikan terhadap peruntukan kepada JASA itu juga disuarakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman.

Malah Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris juga mempersoalkan perkara yang sama dalam media sosialnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lebih baik lah peruntukan jasa tu disalurkan ke maahad2 tahfiz.
    Zaman ph yg menteri kewangan nya cina DAP pun memperuntukkan bajet kepada maahad2 & sekolah agama rakyat.
    Zaman PN yg menteri2 nya 90 % Islam pun tak dapat menyediakan bajet serupa.

    Inilah yg dinamakan melayu mudah lupa.
    Melayu yg diharapkan sebagai pembela agama Islam hanya retorik semata-mata.

  2. kalau muhyidin nak hidupkan balik JASA yang tak berjasa tu patut lah pembangkang jangan sokong. agong sepatutnya tahu jasa ini badan fitnah. tak kan dia sokong kot.

Comments are closed.