Pengunjung restoran mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menerusi televisyen ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2020

TERKENAL dan dihormati sebagai tokoh perbankan sebelum menjadi anggota Kabinet, riak wajah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan yang segak berbusana baju Melayu kelihatan tenang ketika membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ di Dewan Rakyat pada Jumaat. Jutaan rakyat Malaysia memerhatikan beliau ketika menggalas amanah membentangkan Belanjawan 2021 yang merupakan belanjawan sulung oleh kerajaan Perikatan Nasional dan mungkin juga boleh dianggap belanjawan paling kritikal dan bersejarah kepada negara sejak merdeka.

Memperuntukkan sejumlah RM322.5 bilion, ia sememangnya satu jumlah yang amat besar berbanding belanjawan negara sebelum ini, sebagai contoh Belanjawan 2020 memperuntukkan sebanyak RM297 bilion manakala Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion. Kerajaan sendiri sudah menjanjikan dari awal bahawa belanjawan ini akan melibatkan peruntukan lebih besar kerana mahukan ia sebuah belanjawan yang inklusif dan komprehensif demi melindungi rakyat dan menyelamatkan ekonomi.

Dari jumlah sebesar ini, kerajaan memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion disediakan bagi simpanan luar jangka. Mengambil kira keperluan perbelanjaan sebesar ini, deficit fiscal negara bagi tahun hadapan diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pelbagai pihak masih terkesan dengan impak Covid-19 kerana ia menjejaskan sektor ekonomi negara dalam skala yang besar. Ribuan perniagaan gulung tikar dan ratuan ribu rakyat hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja. Semua keadaan ini amat menghimpit kehidupan mereka, justeru senario ini sudah menjawab mengapa Belanjawan 2021 yang dibentangkan kelmarin amat dinantikan bersama harapan yang menggunung oleh rakyat Malaysia.

Sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan, kerajaan telah melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi secara berperingkat sejak Mac lalu untuk negara dan rakyat dapat ‘bertahan’ sehingga ke akhir tahun ini. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion dilihat membantu daya tahan ekonomi negara.

Bagi memastikan belanjawan ini menepati cita rasa rakyat, Menteri Kewangan menekankan dalam ucapannya bahawa buat pertama kalinya, siri jelajah dan sesi konsultasi telah diadakan ke seluruh negara yang melibatkan pelbagai pemegang taruh seperti parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri dan ahli akademik untuk mendapat input dan cadangan. Fokus Belanjawan 2021 memberi perhatian kepada tiga matlamat induk iaitu Kesejateraan Rakyat; Kelangsungan Perniagaan; dan Ketahanan Ekonomi.

Sebagai satu belanjawan yang membawa kesinambungan kepada semua pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini, Belanjawan 2021 menepati andaian pakar ekonomi dan firma penyelidikan sebagai satu belanjawan pengembangan. Belanjawan pengembangan boleh diandaikan sebagai solusi ampuh bagi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk ketika ini.

Melalui belanjawan pengembangan, kerajaan memperluaskan bekalan wang dalam pasaran ekonomi melalui kaedah meningkat perbelanjaan atau melaksanakan potongan cukai yang menjadikan rakyat dan perniagaan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja. Kerana itu dapat dilihat kerajaan mengambil pendekatan memberi duit poket tambahan kepada rakyat  dan pada yang sama turut memenuhi keperluan sektor ekonomi, pendidikan, pelancongan, penggiat industri seni, projek pembangunan dan mega berimpak tinggi, pendigitalan negara, pemuliharaan alam sekitar serta pelbagai bentuk pembiayaan dan insentif kepada usahawan dan peniaga kecil.

Boleh dikatakan belanjawan ini mempunyai keseimbangan antara memberi kail dan ikan oleh kerajaan kepada rakyat. Pastinya ada beberapa permintaan yang tidak dapat kerajaan realisasikan dalam belanjawan ini, tetapi ia masih satu belanjawan yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat dan negara. Ia juga sebagai belanjawan yang penting kerana akan menyokong kepada agenda Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang bermula pada tahun hadapan untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Belanjawan ini akan mula dibahaskan pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, buat Yang Berhormat sekalian, ingatan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong sebelum ini perlu dijadikan pegangan dan pedoman iaitu untuk mengenepikan segala perbezaan dan terus bersatu padu dalam usaha membanteras pandemik Covid-19

Oleh: Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.