Mohd Alif Anas Md Noor
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran agar meneruskan dan menambahbaik program Televisyen Pendidikan bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti program tersebut dengan lebih berkesan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa KPM telah menjalankan program TV Pendidikan itu bermula daripada pengumuman kerajaan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Beliau berkata, pengumuman pemindaan tarikh peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang akan dijalankan bermula 22 Februari tahun depan memungkinkan program tersebut perlu ditambah baik.

“Oleh sebab yang demikian, GPMS melihat ada keperluan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran tetap diadakan bagi calon SPM 2020 bagi memastikan calon-calon bersedia untuk menduduki peperiksaan utama tersebut.

“Semoga semua pelajar dan guru akan terhindar daripada wabak Covid-19 dan negara Malaysia akan bebas wabak wabak itu dengan segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Alif Anas berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung penangguhan peperiksaan berkenaan dalam mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kalangan pelajar sekolah.

Ini bermakna berlaku kekangan yang sangat besar bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 untuk melalui sesi pembelajaran secara bersemuka dengan guru sehingga akhir tahun 2020. – MalaysiaGazette