Kamarudin Mohd Hussain

KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi SeMalaysia melahirkan rasa sedih apabila Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan pada Jumaat lalu tidak memberi sebarang manfaat kepada sektor perkhidmatan awam kecuali kepada warga teksi Sabah yang terjejas teruk akibat peningkatan penularan wabak Covid 19.

Yang Dipertuanya berkata, pemandu teksi juga antara salah satu golongan B40 yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak Covid-1.

Kamarudin Mohd Hussain berkata, golongan itu bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan, bahkan tidak mempunyai simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP untuk dikeluarkan bagi meneruskan kesinambungan hidup.

Malangnya, kata beliau, kerajaan seperti melepas pandang kebajikan mereka.

Kamarudin mendakwa sebelum ini mereka telah menghantar surat kepada kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan supaya mempertimbangkan rayuan kami agar bantuan khas bulanan RM500 dapat diwujudkan di dalam pakej Belajawan 2021.

”Malangnya rayuan kami tidak dipertimbangan, keadaan ini sungguh menyedihkan kami, seolah-olah kami bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada nelayan kerana masih mendapat bantuan kerajaan walaupun semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  warga nelayan masih boleh turun ke laut untuk menangkap ikan, dan membawa pulang hasil yang sama seperti sebelum PKP.

Ini kerana ikan-ikan di laut tidak tertakluk kepada PKP, namun kerajaan masih boleh memberi dan meningkatkan alaun Sara Hidup Bulanan RM200 kepada RM300 kepada 40,000 warga nelayan di atas dasar prihatin kerajaan terhadap warga nelayan.

”Tetapi malangya, keadaan tersebut belaku sebaliknya kepada pemandu teksi apabila kerajaan seperti tidak menghiraukan keperitan dan kepayahan yang dihadapi.

”Selama ini kami bukan sahaja berhadapan dengan peraturan berat sebelah yang sengaja diwujudkan oleh pemerintah terdahulu bagi melindungi kepentingan syarikat-syarikat korporat, bahkan perlaksanaan PKP yang telah dilaksanakan pada Mac lalu telah menyebabkan kami kehilangan sumber pendapatan sebanyak 100%.

“Penumpang kami bukan seperti ikan di dalam lautan, mereka juga tertakluk kepada PKP. Kami kini berada di dalam katogeri hilang pekerjaan dan miskin bandar,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Gabungan Teksi SeMalaysia sekali lagi merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan rayuan mereka.

“Kasihanilah kami dan bersimpati terhadap nasib kami, kami juga rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette