Jenazah Mohd Irfan Mohamed Rawi dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Keputusan bedah siasat terhadap dua mangsa nahas udara di Taman Melawati semalam diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pengarah Hospital Tunku Canselor Muhriz (HCTM), Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunrashid berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan kimia yang merupakan antara Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam siasatan.

“Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung penemuan yang diperoleh berdasarkan bedah siasat yang dilakukan.

“Yang itu saya tidak akan bincangkan bagi mengelak sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui media selepas selesai bedah siasat terhadap mayat jenazah Allahyarham Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, di Unit Forensik HCTM di sini, hari ini.

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Professor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid ketika sidang media selepas selesai proses bedah siasat ke atas dua mangsa nahas helikopter di Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) di PPUKM, Cheras, Kuala Lumpur.
foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020

Menurut Dr. Hanafiah, bedah siasat itu berjalan dengan lancar dan dikendalikan oleh pakar-pakar termasuk pakar dari unit Patologi.

Ketika ditanya mengenai perjalanan proses bedah siasat itu, beliau berkata, bedah siasat yang pertama ke atas mayat Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharom dimulakan pada pukul 9.15 pagi tadi dan selesai pukul 11.15 pagi.

Manakala bedah siasat kedua ke atas mayat Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, dijalankan pada pukul 11.30 pagi dan selesai kira-kira pukul 1.15 petang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk media yang telah berada di sini sejak semalam dengan kesemuanya patuh kepada SOP Covid-19 yang disyorkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette