Suasana di Jalan Tunku Abdul Rahman dilihat masih lengang semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan pasca Belanjawan 2021 sempena Pembukaan Semula Ekonomi dan Pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2020

SECARA keseluruhan, saya melihat tumpuan Belanjawan 2021 kali ini adalah golongan B40, rakyat yang susah atau berpendapatan rendah, termasuk ramai saudara-mara serta kenalan saya sendiri.

Mereka yang tergolong dalam B40 atau berpendapatan 40 peratus terendah amat bersyukur atas begitu banyak bantuan seperti diumumkan dalam belanjawan. Mereka juga amat berterima kasih kepada kerajaan pimpinan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka ikhlas menghargai segala bantuan yang disalurkan selama ini, dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Sara Hidup (BSH) dan selepas ini, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pula.

Bagi mereka yang tinggal di bandar dan biasa berbelanja di gedung mewah atau minum di kafe jenama terkenal, jumlah bantuan BRIM, BSH atau BPR itu mungkin tidak seberapa, tetapi ia memberi makna cukup besar kepada saudara-mara saya yang tinggal di desa.

Dengan bantuan itu, ringanlah sedikit beban kewangan mereka, ada duit belanja tambahan untuk membeli pakaian dan keperluan anak-anak, dapatlah juga mereka membawa anak  menjamu selera ayam goreng di restoran makanan segera jenama antarabangsa.

Mereka juga bersyukur dan sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana ada pelbagai bantuan lain yang diberikan dalam bermacam-macam bentuk seperti diumumkan dalam belanjawan.

Namun, saudara-mara saya turut bertanya apa yang heboh benar pasal JASA, apa itu JASA dan pasal RM81 juta.

Saya merujuk penjelasan  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bahawa JASA atau Jabatan Hal Ehwal Khas adalah agensi kerajaan yang akan dihidupkan semula bagi membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19, merapatkan perpaduan dengan menyediakan maklumat tepat serta sahih kepada masyarakat.

Saya juga memberitahu saudara-mara saya  bahawa JASA akan turut berperanan mengukuhkan sahsiah serta pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa, sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan segmen masyarakat.

Mereka mengangguk faham dan ada yang menyampuk, tidak besar mana pun RM81 juta peruntukan untuk jabatan itu daripada  RM322.5 bilion anggaran keseluruhan Belanjawan 2021.

Mereka bagaimanapun tidak faham mengapa ada pihak tertentu yang menjadikan perkara itu satu isu, siang malam mengkritik kerajaan dan enggan menerima penjelasan.

Saya beredar meninggalkan saudara-mara saya dengan kepercayaan bahawa ada lebih ramai yang bersyukur dan menghargai keprihatinan kerajaan.

Mohd Zulkifli Aiman
Teluk Intan