Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memaklumkan berlaku kluster penularan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing kontraktor pembekal perkhidmatan di Pelabuhan Klang.

Pengurus Besarnya, Kapten K. Subramaniam, pihak pengurusan LPK telah mengarahkan kontraktor pembekal perkhidmatan terbabit menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua kakitangan.

Selain itu, katanya, kontraktor terbabit juga diarahkan menjalankan aktiviti menyahkuman ke atas premis dan kuaters pekerja yang terletak di luar kawasan Pelabuhan Klang.

Berikutan itu, tambah beliau, Northport, Westports dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ ) juga telah diarahkan untuk mengambil langkah segera termasuk melarang kakitangan kontraktor terbabit masuk ke kawasan pelabuhan sementara menunggu keputudsan ujian saringan.

“Pihak Northport, Westports dan PKFZ juga sedang melakukan aktiviti pembersihan dan menyahkuman di kawasan kawasan operasi yang terdedah kepada risiko penularan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Subramaniam, memandangkan pelabuhan dan logistik merupakan salah satu perkhidmatan penting kepada ekonomi negara, LPK Northport, Westports dan PKFZ akan memastikan langkah sewajarnya diambil bagi menggelakkan sebarang gangguan yang boleh menggugat pengendalian perdagangan.

Ujarnya, keadaan pada ketika ini adalah terkawal dan Pelabuhan Klang mepunyai kapasiti dan sumber yang mencukupi untuk terus beroperasi dengan proses penghantaran dan penerimaan kargo tidak terganggu.

“LPK bersama operator terminal sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia , Kementerian Pengangkutan serta jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan bagi memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan agar keselamatan dan kesejahteraan semua pekerja daa pengguna pelabuhan serta orang awam dilindungi,” ujarnya. – MalaysiaGazette