Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya semasa meninggalkan perkarangan Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan telah mengambil kenyataan daripada dua mangsa yang terselamat daripada insiden helikopter di Taman Melawati pada Ahad lalu.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya menegaskan siasatan yang dijalankan bukan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk menentukan keadaan dan punca sebenar kemalangan supaya kejadian seumpamanya dapat dielakkan pada masa akan datang dan seterusnya menyelamatkan nywa.

“BSKU akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan dan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai,” katanya.

Dalam kejadian jam 11.46 pagi Ahad lalu, dua buah helikopter dalam penerbangan dari Subang ke Genting Sempah bertembung dan terhempas menyebabkan dua maut iaitu Mohd. Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd. Sabri Baharom, 56.

Manakala dua mangsa terselamat ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd. Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan.- MalaysiaGazette