Kelihatan pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja pembinaan selepas kerajaan membenarkan sektor pembinaan beroperasi sepenuhnya dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Nilai kerja pembinaan meningkat 58.6 peratus berbanding suku tahun kedua 2020, iaitu berjumlah RM31.4 bilion (ST2 2020: RM19.8 bilion).

Bagi perbandingan tahun ke tahun, nilai kerja pembinaan mencatatkan pemulihan kepada -13.1 peratus
(ST2 2020: 44.9%) pada suku tahun ketiga 2020.

Subsektor Pertukangan khas mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus.

Manakala tiga subsektor lain iaitu bangunan kediaman, kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman masing-masing menunjukkan pertumbuhan -12.0 peratus, -13.6 peratus dan -16.0 peratus berbanding suku tahun yang sama pada 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku ketiga 2020, subsektor kejuruteraan awam kekal mendominasi sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan sumbangan 45.8 peratus.

Bangunan kediaman menyumbang 24.5 peratus, bangunan bukan kediaman (24.0%) dan aktiviti pertukangan khas (5.7%).

Sektor swasta terus memacu pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 50.7 peratus nilai kerja pembinaan (RM15.9 bilion) berbanding dengan sektor awam yang menyumbang 49.3 peratus nilai kerja pembinaan (RM15.5 bilion). – MalaysiaGazette