PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration

KUANTAN – Polis menahan seorang penoreh getah yang disyaki memalsukan surat sokongan dengan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kerja pembalakan dan perlombongan di hutan Lipis, kira-kira 171 kilometer dari sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang berusia 51 tahun dan berasal dari Sik, Kedah ditahan pada jam 1.25 tengah hari semalam, semasa hadir membantu siasatan di Balai Polis Gurun, Kedah.

“Suspek didakwa memalsukan surat itu kepada sebuah syarikat pembalakan yang dipercayai mencari peluang melombong atau mengambil hasil hutan di rizab hutan Hulu Jerai di Mukim Batu Yon, Lipis sekitar Jun lalu.

“Perbuatan suspek terbongkar selepas seorang pegawai di pejabat Sultan Pahang menerima maklumat mengenai surat itu dan mengesahkan bahawa pejabat berkenaan tidak pernah mengeluarkan surat sokongan atau disebut sebagai surat kuning itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama