Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (tengah) bercakap diiringi Pengasas Genius Aulad, Datin Zalina Alias (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Al Fikh Orchard, Siti Ruzita Ramli (dua kiri), Pengasas Little Caliph, Roslan Nordin (kiri) dan Pengasas Smart Reader, Keven Ong (kanan) pada Sidang Media ‘’Sokongan untuk kelangsungan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di Malaysia’’ di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2020

CYBERJAYA – Pengusaha-pengusaha persatuan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta merayu kepada kerajaan agar mendengar keluhan mereka yang terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran dalam mendepani penularan Covid-19.

Rata-rata mereka melahirkan rasa resah selepas kerajaan mengumumkan untuk menutup sesi persekolahan sehingga Januari tahun hadapan.

Ini kerana, mereka mungkin terpaksa ‘gulung tikar’ selepas tidak lagi mampu untuk melakukan pelbagai perkara temasuk membayar gaji guru serta sewa bulanan premis yang digunakan sebagai pusat asuhan kanak-kanak.

Pengarah Urusan, Little Genius International, Komander Zainal Abidin Nagorekani berkata, penutupan sesi persekolahan yang agak lama menyukarkan pihaknya untuk mengurus pentadbiran sekolahnya.

Pengarah Urusan Little Genius International, Zainal Abidin Nagorekani

Ini kerana, bukan sahaja tidak mendapat bayaran daripada ibu bapa yang tidak lagi menghantar anak mereka yang menyukarkan pengurusan sekolah untuk membayar gaji bulanan guru-guru setiap bulan.

“Guru-guru inilah aset-aset kami yang perlu dijaga. Dan jika mereka tidak dibayar gaji bagaimana mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup.

“Perkara inilah yang kerajaan kena kaji dan perlu dilihat daripada skop yang meluas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi Pengasas Little Caliph, Roslan Nordin pula, langkah penutupan sesi persekolahan yang panjang boleh memberikan kesan negatif kepada ibu bapa yang bekerja.

Pengasas Little Caliph, Roslan Nordin

Katanya, mereka tidak boleh memberikan fokus terhadap tugas dan disebabkan itu ada berlaku kes penderaan kanak-kanak ketika kerajaan mengeluarkan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

“Jadi, adalah lebih baik sekiranya kanak-kanak dihantar ke sekolah demi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim berkata, sekiranya Prosedur Operasi Standard (SOP) dijadikan alasan untuk menutup sesi persekolahan, ia sepatutnya dikaji semula kerana sekolah swasta juga mempunyai SOP sendiri dalam menjaga kanak-kanak daripada wabak Covid-19.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman, kanak-kanak lebih mudah mematuhi SOP kerana mereka berada diperingkat usia yang mudah dilentur berbandung orang dewasa.

“Saya rasa yang tak boleh ikut SOP ni orang tua saja dalam pilihan raya. Tapi kanak-kanak ini mereka ikut SOP.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

“Saya pun tak faham kenapa MKN (Majlis Keselamatan Negara) beritahu nak kaji semula SOP. SOP ini memang dah ada sejak bermulanya PKP.

“Budak-budak ini mereka akan ikut saja apa yang disuruh. Yang tak nak dengar cuma orang tua,” katanya. – MalaysiaGazette