Yap Kok Heng

KUALA LUMPUR – Pendapatan yang berkurang 40 peratus sejak Mac lalu ternyata memberi kesan besar kepada Yap Kok Heng untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai pemandu van.

Lebih memeritkan lagi, beliau seringkali terpaksa mengikat perut demi memastikan dua adik perempuannya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat menjamah nasi setiap hari.

Namun dalam mengharungi kesan kelembapan ekonomi akibat pandemic Covid-19, Yap, 63, bersyukur kerana kerajaan sentiasa menghulurkan bantuan kepada rakyat dan yang terbaharu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula tahun depan.

“Saya bekerja sebagai pemandu van seminggu kerja tiga hari sahaja, gaji ditolak 40 peratus. Dari bulan 3 sampai sekarang gaji ditolak. Nasib baik saya masih bujang untuk jaga adik-adik saya, dua-dua perempuan.

“Kami ikat perut belanja mana yang patut sahaja. Kalau dulu boleh makan lebih sikit sekarang pergi kerja kena bawa bekal.

“Tapi tidak boleh buat apa-apa, Covid-19 ini tidak mengenal bangsa, sesiapa sahaja di mana-mana terjejas juga. Harap bantuan ini semua yang layak dapat, tolong semua yang patut,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu mengumumkan BPR yang bakal dibayar secara berperingkat sebanyak dua kali dalam memastikan golongan yang memerlukan memperoleh manfaat besar.

Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak pula menerima RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 ringgit pula diberikan RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan RM750 kepada yang mempunyai dua anak atau lebih.

Selain itu individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah bakal menerima bantuan RM350.

Tinjauan MalaysiaGazette di Projek Perumahan Rakyat Pantai Permai hari ini mendapati majoriti golongan B40 sangat bersyukur dengan bantuan yang dilihat sebagai kesinambungan terhadap Bantian Prihatin Nasional (BPN) yang diberikan baru-baru ini.

BPR yang dijangka diagih kepada rakyat menjelang Aidilfitri akan datang seolah-olah sinar dan harapan untuk membantu meringankan beban golongan B40 khususnya mereka yang terjejas sejak Covid-19 menular di negara akhir tahun lalu.

Anwar Saibidin

Itulah yang dirasakan oleh Anwar Saibidin, 50, yang berniaga kuih-muih bagi menampung kehidupan.

Beliau yakin bukan sahaja dirinya, sebaliknya ramai lagi yang senasib dengannya apatah lagi yang tinggal di kawasan bandar dengan kos hidup yang tinggi namun pendapatan berkurang akibat ketidaktentuan ekonomi.

Anwar mula berniaga kuih secara kecil-kecilan untuk dihantar ke kedai-kedai runcit sekitar Pantai Permai sejak Januari tahun ini selepas terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sehubungan dengan itu, beliau yang hanya berpendapatan lebih kurang RM650 namun perlu menyara anak, ibu, isteri dan adik lelakinya sangat bersyukur kerana adanya BPR.

“Saya sudah berniaga kuih sejak bulan Januari, berenti kerja sebelum ini sebab ada masalah kesihatan. Jadi saya hanya berniaga kuih kecil-kecilan hantar ke kedai-kedai.

“Sebulan pendapat lebih kurang RM650, dapat bantuan juga dari Baitulmal,” kata bapa kepada seorang anak itu yang turut menyara ibu dan adik lelakinya selain seorang isteri.

Anwar yakin inisiatif kerajaan menerusi BPR banyak membantu rakyat dengan keadaan ekonomi yang tidak diketahui bila akan pulih.

“Kami susah nak cari makan. Jadi berterima kasih sangatlah dengan bantuan BPR ini,” menurutnya.

Veronica Bala 

Bagi Veronica Bala, 67,  meskipun sudah tidak lagi bekerja dan ditanggung oleh anak lelakinya yang belum berkahwin, namun beliau memahami kesempitan hidup anaknya yang hanya bekerja sebagai penghantar makanan.

Suri rumah yang yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru itu adakalanya rasa kesal kerana tidak dapat membantu anaknya menambah pendapatan sebaliknya terpaksa bergantung sepenuhnya dengan gaji anaknya yang hanya cukup makan sahaja.

Justeru itu, beliau amat bersyukur kerana berpeluang menerima BPR kelak dalam masa yang sama menghargai bantuan daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Malah Veronica turut gembira kerana BPR bukan sahaja untuk dirinya malah dapat dimanfaatkan seluruh rakyat Malaysia lain yang sangat memerlukan bantuan dalam waktu yang sangat mencabar ini.

“Bantuan itu bukan hanya boleh bantu saya, memang bagus sebab masa ini ramai yang tidak ada kerja, kalau ada kerja pun pendapatan kurang.

“Kalau macam saya dan anak hidup berdua sekarang ini mungkin boleh lagi makan, bagaimana kalau yang ada anak ramai? Jadi saya bersyukur dengan ada bantuan kerajaan.

“Saya harap anak saya walaupun bekerja sebagai penghantar makanan akan layak terima BPR ini,” katanya.

Pereka Grafik seperti Mohd Azman Shahrudin, 33, juga antara yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan beliau diarah bekerja dari rumah dan gajinya juga terpaksa ditolak oleh majikan.

Mohd Azman Shahrudin
Mohd Azman Shahrudin

Akur dengan keadaan semasa ini, namun Azman yakin kerajaan pada hari ini tidak akan membiarkan rakyatnya yang majoriti terjejas dari segi pendapatan.

Buktinya inisiatif BPN yang diterima sebelum ini dan BPR yang dijangka diterimanya pada tahun depan pula.

Setidak-tidaknya, Azman berkata, BPR akan membantu beliau dan isteri untuk melangsaikan komitmen isi rumah mereka.

“Untuk yang terjejas, bantuan ini sangat bagus membantu macam saya sendiri yang bekerja dalam bidang pendidikan dan gaji ditolak. Jadi bantuan BPR membantu walaupun tidak banyak.

“Saya akan fokus BPR untuk membantu komitmen keperluan rumah, bahan dapur barang asas,” katanya.

Jefri Ahmad

“Yang BPR itu, Alhamdulillah memang saya sokong bantuan itu. BPN sebelum ini pun dapat RM1,200 membantulah. Pendapatan saya sebagai pemandu teksi sangat terjejas.

“Nak bawa balik RM30 pun menangis-nangis (susah), itu untuk 12 jam. Terima kasih kerajaan kerana beri bantuan ini,” tambah bapa kepada empat orang anak itu.

Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH).-MalaysiaGazette