PUTRAJAYA – Seorang pegawai syarikat telekomunikasi (telco) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).
Perintah reman hingga 15 Nov itu dikeluarkan Majistret Nur Aisyah Mohd Yusof di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 9 malam semalam, selepas hadir memberikan keterangan.
Katanya nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan menerusi SMS dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.
Semalam, dilaporkan tiga pengarah syarikat termasuk dua bergelar ‘Datuk’ direman lima hari hingga 14 Nov kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telco untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan SMS.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga mereka yang berumur antara 45 dan 62 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani Mohammad Alif Abdul Aziz selepas mendengar permohonan SPRM.
Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga lelaki tersebut disyaki meminta dan menerima wang itu daripada seorang lelaki bagi membantu menyelesaikan kes abang ipar lelaki terbabit yang ditahan polis atas kesalahan dadah pada Jun 2018
Ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan di pejabat SPRM Sungai Petani antara 9.38 dan 10.07 malam tadi.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
— BERNAMA
hahahah..sepatutnya dia nih wajib di kenakan pendakwaan atas POCA kerana mengancam pengguna selain ia melibatkan kumpulan rakyat yang besar..