Seorang pekerja ladang sedang mengumpul buah sawit.

KUALA LUMPUR – Melalui inisiatif kebolehkesanan yang kukuh, FGV Holdings Berhad (FGV) telah mencapai 81 peratus Kebolehkesanan ke Ladang (TTP) Tandan Buah Segar (TBS) sehingga kini dan berada pada landasan untuk mencapai sasaran 100 peratus TTP pada suku keempat 2021.

Inisiatif kebolehkesanan FGV memastikan sumber TBS tidak terlibat dengan penyahhutanan, penanaman tanah gambut dan pembakaran terbuka, selaras dengan Dasar Kelestarian Kumpulan (GSP) dan komitmen Tiada Penebangan Hutan, Tiada Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi (NDPE).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, walaupun Kebolehkesanan Ke Kilang (TTM) adalah 100 peratus, kebolehkesanan TBS ke ladang asal merupakan satu cabaran yang unik disebabkan oleh kerumitan rantaian bekalan dalam rangkaian peniaga TBS.

Ini kerana, FGV memperolehi dua pertiga sumber TBS daripada pembekal luar yang terdiri daripada peneroka FELDA, pekebun kecil bebas, ladang swasta dan juga peniaga TBS, manakala hanya satu pertiga TBS yang diperolehi secara langsung adalah dari ladang sendiri.

“Oleh itu, pencapaian TTP yang melebihi 80 peratus merupakan kejayaan besar bagi FGV dan kami komited untuk memastikan kebolehkesanan penuh dapat dicapai menjelang tahun hadapan,” tambah Haris Fadzilah.

Sehingga Oktober 2020, 28 peratus bekalan TBS diperolehi secara dalaman dari ladang sendiri, sementara 72 peratus adalah dari sumber luar.

Daripada bekalan luar ini, 63 peratus dibekalkan terus daripada peneroka Felda, 2 peratus daripada pekebun kecil bebas, 4 peratus daripada ladang swasta, 2 peratus daripada koperasi, dan 28 peratus melalui peniaga TBS di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan FGV terhadap kebolehkesanan dan jaminan produk, FGV telah mewujudkan program kebolehkesanan dan pemetaan risiko.

Program ini bertujuan untuk mengesan dan mengenal pasti risiko kelestarian, termasuk risiko alam sekitar serta sosial dan hak asasi manusia, yang berkaitan dengan pembekal-pembekal luar berdasarkan kawasan geografi mereka.

Selain itu, dalam menggalakkan pematuhan yang lebih baik oleh pembekal mengikut piawaian syarikat, FGV sedang bekerjasama dengan Institut Inovasi Rantaian Bekalan Malaysia (MISI) dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) untuk mengusahakan pengesahan maklumat data kebolehkesanan, pengesahan pembekal luaran mematuhi Dasar Kelestarian Kumpulan, dan peningkatan status kelestarian pembekal FGV melalui Program Rangkaian Pilihan (PNP).

Menurutnya, FGV juga telah membangunkan Traceability of Product (FGV-ToP), yang merupakan sebuah sistem kebolehkesanan berkomputer yang membolehkan pelanggan kami mendapatkan maklumat seperti status terkini pensijilan, geolokasi dan pengeluaran bulanan setiap kilang. – MalaysiaGazette