Sebahagian daripada suasana di sekitar kawasan perumahan Medan 88 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

SEPANG – Menyedari hakikat bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan memberi kesan kepada penduduk di Medan 88, Salak Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bertindak menempatkan pakar  kaunseling di kawasan ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata langkah itu bagi menyelesaikan sebarang aduan dan luahan perasaan penduduk yang terhimpit ekoran pelaksanaan PKPD.

“Kita akan letakkan kaunselor kita di sini sekiranya ada aduan atau pandangan luahan perasaan yang berkaitan dengan emosi yang memerlukan bimbingan.

“Kita akan sediakan kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan bertugas di sini,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan bencana di PKPD Medan 88, hari ini.

Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyerahkan 200 pek makanan kepada frontliner yang ditugaskan di sini.

Tambah beliau lagi, cadangan itu didapati perlu biarpun belum ada laporan mengenai tekanan perasaan dilaporkan sejak PKPD dilaksana disini yang bermula hari ini.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

Dalam pada itu, Rina berkata JKM akan turut menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak dan keperluan asas wanita kepada mana-mana individu yang memerlukan.

“Mungkin ada keperluan kanak-kanak dan peribadi wanita yang mereka perlukan, JKM akan membantu mereka yang terjejas dalam PKPD ini.

“Setakat ini kita belum lagi menerima permohonan untuk keperluan asas seperti itu selain makanan,” katanya.

PKPD Medan 88 diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bermula hari ini hingga 25 November depan.

Sejumlah 700 hingga 800 penduduk yang tinggal di kawasan ini terkesan akibat pelaksanaan PKPD ini.

Pelaksanaan perintah PKPD dibuat ekoran sejumlah 43 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan ini sehingga Isnin lalu. – MalaysiaGazette