Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan sumbangan makanan kepada para petugas ‘frontliner’ yang bertugas di Medan 88 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

SEPANG – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menepis desas-desus akan bertanding di Parlimen Sepang.

Menurutnya, beliau turun ke Sepang hari ini untuk menyalurkan bantuan kepada barisan hadapan yang terlibat dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi.

Sumbangan itu, kata Rina, atas kapasiti peribadi memandang beliau adalah Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Sepang.

“Saya (turun Sepang) bukan pasal (bertanding di Sepang) tapi pasal PKPB.

“Saya datang menyantuni frontliners, mereka bekerja bukan sebulan dua, tapi dari awal lagi,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan PKPD Medan 88, hari ini.

Rina hadir untuk menyerahkan 200 pek makanan kepada frontliners yang akan dibekalkan selama seminggu di kawasan PKPD ini.

Jelas Rina lagi, keputusan untuk menempatkan ahli Bersatu untuk bertanding di mana-mana kerusi adalah keputusan muktamad daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang ini (bertanding di Parlimen Sepang) bukan keputusan saya, yang buat keputusan adalah presiden parti saya. Bukan sebab itu (turun Parlimen Sepang), saya juga merupakan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Sepang,” kata Rina lagi.

Sebelum ini tersebar senarai calon bagi kerusi Parlimen di Selangor yang dipercayai berkaitan bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Dalam senarai itu, Bersatu diberikan tujuh kerusi iaitu Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Ampang (Zuraida Kamaruddin), Sabak Bernam, (Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh), Sungai Besar (Muslimin Yahaya), Shah Alam (Dr Afif Bahardin) dan Klang (Dr Daroyah Alwi).

UMNO hanya menerima enam kerusi iaitu di Hulu Selangor, Tanjong Karang, Bangi, Puchong, Sungai Buloh dan Kuala Langat sementara MCA empat kerusi dan MIC dua kerusi.

Pas pula mendapat tiga kerusi iaitu Kapar, Kuala Selangor dan Hulu Langat. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

Comments are closed.