Anggota polis memeriksa surat rentas negeri penumpang bas yang ditetapkan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Rata-rata responden setuju bahawa denda yang dikenakan pihak berkuasa mampu menghalang individu daripada melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI mendapati sebanyak 69.8% daripada 1,094 orang responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik ini bersetuju denda itu cukup tegas bagi menghalang orang awam melanggar SOP.

Bagaimanapun, 30.2% responden lagi berpendapat sebaliknya.

Dalam kaji selidik sama, 37.7% responden berpendapat pihak berkuasa adil dalam mengambil tindakan kepada individu yang melanggar SOP.

Tetapi 39% lagi berpendapat sebaliknya dan 23.3% lagi tidak pasti.

Ini menunjukkan keadilan dalam penguatkuasaan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan orang awam.

Dalam kaji selidik sama, responden menilai tahap ketegasan pihak berkuasa dalam memastikan orang awam mematuhi SOP yang ditetapkan dengan skala
berikut:
Skala 1 -Sangat tidak tegas, Skala 2 – Tidak tegas, Skala 3 – Tidak pasti, Skala 4 – tegas, Skala 5 -Sangat tegas.

Menurutnya, sebanyak 58.9% memilih skala 4 dan 5 (pihak berkuasa tegas) manakala 26.2% lagi memilih skala 3
sementara 14.8% lagi memilih skala 1 dan 2. – MalaysiaGazette