Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir, Ayati Mahat (kiri) pada Program Ziarah Prihatin Hulu Langat di Batu 18, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT – Semua data-data mangsa banjir di seluruh negara akan diselaraskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, pengumpulan data itu bagi memudahkan kerjasama antara kementerian.

“Kita ada data mangsa banjir, yang kita ada adalah mangsa banjir daripada tahun ke tahun. Kita ada setiap mangsa banjir ini apabila berada di pusat pemindahan sementara, kita ada pendaftaran.

“Angka ini meningkat dari semasa ke semasa, tahun lepas (2019) kita ada lebih daripada 85,000 mangsa banjir. Apa yang saya maksudkan tadi daripada data-data tersebut kita nak integrasikan sebab kita cuma berikan bantuan dari segi kebajikan.

“Tetapi apa lebih penting pada saya adalah mengenalpasti, isu masalah tersebut,” katanya kepada media pada Program Ziarah Prihatin Hulu Langat di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor.

Sejumlah 100 penerima menerima bantuan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban semua mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima sumbangan mangsa banjir pada Program Ziarah Prihatin Hulu Langat di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2020.

Tambah Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu lagi, data-data yang dikumpulkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memudahkan kerjasama antara kementerian.

Ujarnya, dengan adanya data-data itu segala masalah yang timbul ekoran banjir ini dapat diselesaikan segera.

“Bagi saya (data-data ini) untuk kita mengenalpasti isu dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat maksudnya dari segi data itu kita boleh integrasi dan jalinkan kerjasama dengan kementerian lain supaya isu dan masalah dapat diselesaikan.

“Dalam jangka masa panjang ianya dapat memberikan ketenangan kepada mangsa banjir apabila berlaku musim hujan lebat,” katanya lagi.

Sejumlah 1,766 buah rumah terkesan ekoran banjir pada awal bulan ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,300 buah rumah melibatkan Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette