Hasbullah Osman

KUALA LUMPUR – Berita kematian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman memberikan kesan mendalam kepada beberapa ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemergian Allahyarham Hasbullah memberikan berita sedih kepada politik negara.

“Takziah buat keluarga Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang baru dijemput Ilahi.

“Saya turut bersedih dan mendoakan,” ucap beliau di Facebook beliau.

Allahyarham Hasbullah meninggal dunia di Hospital Raub kira-kira jam 6.40 petang tadi.

Hasbullah, 63, mengadu sakit dada dalam perjalanan ke Kuala Lipis untuk bertemu anak dan isterinya.

Ucapan takziah turut diberikan Timbalan Presiden Pas yang juga Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Menerima perkhabaran duka, AP Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Salam takziah kepada keluarga dan kenalan Almarhum,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin turut berkata pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada Dewan Rakyat.

“Menerima berita sedih pemergian ke rahmatullah Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

“Bersama kita hadiahkan Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat”, ucap beliau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi turut menyampaikan ucapan takziah beliau.

“Takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman. Semoga rohnya tenang disana,” kata Alexander.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut berkata beliau kehilangan seorang rakan seperjuangan dalam arena politik.

“Ya Allah, ampuni dosa sahabatku ini. Kau terima segala amal baiknya. Kau cucuri rahmat ke atas rohnya. Kau anugerahkan Syurga utk dirinya.

“Al-Fatihah untuk roh Allahyarham Datuk Hasbullah Osman,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.

Turut melahirkan rasa kehilangan adalah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata dirinya turut kehilangan seorang rakan rapat dapat politik.

“Saya kehilangan seorang sahabat dalam perjuangan. Ya Allah, ampunilah dan rahmatilah Hasbullah Osman. Alfatihah,” katanya lagi.

Minggu lalu, Allahyarham Hasbullah dipilih sebagai antara satu wakil kerajaan Perikatan Nasional dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Hasbullah, adalah bekas setiausaha politik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dilantik sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB). – MalaysiaGazette