MASIH lagi kedengaran bicara tentang Belanjawan 2021 di mana-mana. Ada yang menyuarakan sebagai tanda setuju dan ada sebaliknya, merasakan tiada mendapat pulangan yang sewajarnya kepada rakyat.

Daripada pelbagai sisi dilihat, ia perlu dinilai dan diteliti agar belanjawan itu menjadi sesuatu yang mendatangkan manfaat di pihak kerajaan mahupun rakyat di samping tidak menjadi bebanan atau defisit yang melampau hingga menjejaskan kelancaran ekonomi negara.

Pakar-pakar ekonomi negara telah memberikan pandangan dari pelbagai sudut yang sewajarnya pihak kerajaan meneliti kembali Belanjawan 2021 itu.

Pengerusi Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar  telah memberikan pandangannya dalam Forum Online ‘Analisis Bajet 2021’ yang dianjurkan Jabatan Kajian dan Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 7 November lalu.

“Cara lihat, cara menyantuni isu, perlulah berkaitan dengan data kehidupan, bukannya jauh daripada data kehidupan. Al-Quran merupakan satu kitab yang suci, yang mulia yang ada pendataan di dalamnya, secara langsung atau tidak langsung. Berkaitan dengan bajet juga, ia tidak lari daripada isu pendataan.”

Menurut beliau lagi, bajet yang bijak dan boleh memberikan impak yang tinggi adalah yang utamanya perlu inklusif, mencakupi titik-titik merah dalam masyarakat yang perlu disantuni dan yang keduanya ia memberikan ikatan atau pun bridge (jambatan) supaya memberikan kesan dalam masyarakat, tidak boleh ada titik-titik lain yang putus.

Jelasnya di sini, belanjawan itu perlulah dibuat menerusi data yang ada daripada pelbagai sumber, agar pihak yang selayaknya diberi perhatian, mendapat tempat yang selayaknya, bukan dibuat berdasarkan nilaian dan tidak berpandukan data yang tepat.

Bukan sahaja ahli-ahli politik pembangkang yang menzahirkan rasa dan tanda tanya tetapi persoalan itu juga tercetus dalam kalangan masyarakat berikutan beberapa peruntukan yang ‘melampau’ antaranya sebanyak RM85 juta kepada satu badan propaganda kerajaan iaitu JASA, yang telah dihapuskan semasa kerajaan PH memerintah, begitu juga dengan pengurangan peruntukan dalam sektor tertentu seperti perubatan.

Tidak dinafikan, rakyat  perlu berasa gembira dengan pelbagai bantuan yang diperuntukkan kerajaan seperti bantuan minuman susu setiap hari kepada pelajar sekolah, komputer percuma kepada 150,000 pelajar serta bantuan kewangan kepada golongan yang terkesan teruk akibat COVID-19 dan segala bantuan untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 itu adalah amat baik dan sewajarnya disokong.

Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, dalam Forum Online tersebut:

“Satu perkara yang perlu disedari ialah tahun ini adalah kali ke-22 berturut-turut kerajaan membentang belanjawan yang defisit, iaitu sudah 22 tahun semenjak tahun 1998 kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperolehi hingga memaksa kerajaan untuk berhutang lagi yang mana akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan terus bertambah.”

Tambahnya lagi, seolah-olah kerajaan langsung tidak mempunyai niat atau rancangan untuk melangsaikan hutang tersebut. Maka dapat disimpulkan bahawa kerana terlampau defisit, hutang negara makin melonjak naik dan tentunya menjadi bebanan besar kepada kerajaan seterusnya.

Pakar ekonomi, Profesor Kenneth Rogoff dan Professor Carmen Reinhart daripada Universiti Harvard mengatakan bahawa melalui kajian mereka menunjukkan jika hutang kerajaan meningkat ke paras 90 peratus berbanding KDNK, kesannya ialah ekonomi akan sukar untuk berkembang.

Tentunya rakyat Malaysia mengharapkan pertumbuhan ekonomi yang subur dan selesa. Namun, adakah situasi itu akan berpanjangan jika keadaan ekonomi negara bermasalah?

Belanjawan 2021 tentunya menjadi cabaran besar kepada pihak kerajaan untuk melaksanakannya memandangkan ekonomi negara dalam situasi tidak menentu ekoran daripada pandemik yang berlaku bukan sahaja di Malaysia bahkan di seantero dunia.

Menariknya dalam bajet ini menurut Datuk Dr Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), terdapat beberapa aspek dan mesej tertentu seperti kerajaan bercadang memberikan santunan dan sentuhan kepada pekerja-pekerja yang dibuang kerja dan menyebarluaskan skim insurans pekerja jika mereka dibuang pekerjaan.

Tambahnya, di negara maju sudah ada skim-skim yang lebih canggih lagi iaitu Unemployment Insurance Scheme (Skim Insurans Pengangguran) yang mana negara baru nak berjinak-jinak, yang mungkin boleh menjadi pencetus untuk banyak lagi skim, bukan hanya kerajaan tetapi swasta, industri swasta, takaful, insurans boleh mengetengahkannya.

Tawaran-tawaran yang memberi pulangan yang baik kepada rakyat ini perlu dilaksanakan agar tiada yang terjejas walaupun dalam keadaan mereka diberhentikan kerana situasi yang melanda seperti pandemik Covid-19 ini.

Kerajaan perlu memandang juga isu yang didepani rakyat seperti mereka yang berniaga di tepi jalan yang menjual barang-barang secara kecil-kecilan yang mana, mereka tiada dalam data kerajaan. Tentunya mereka antara kelompok lain yang sangat terkesan situasi wabak ini. Adakah inisiatif untuk dimuatkan dalam belanjawan ini?

Pada 6 November lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.54 bilion, yang mana merupakan belanjawan paling besar pernah diumumkan kerajaan.

Daripada jumlah itu, RM236.54 bilion untuk perbelanjaan pengurusan, yang mana turun sebanyak 1.9 peratus berbanding tahun 2020 ini.

Manakala RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan iaitu meningkat sebanyak 23.21 peratus berbanding tahun ini dan sejumlah RM17.9 bilion pula diperuntukkan untuk dana COVID-19.

Rasionalnya, jika dinilai satu persatu belanjawan ini, tidak dinafikan ia tetap ada yang berpihak kepada rakyat. Namun, angka-angka besar yang tidak sewajarnya di tempat yang dinyatakan perlulah dinilai semula.

Kesan serta akibat dengan deretan angka-angka yang besar yang dibentangkan Menteri Kewangan minggu lalu wajar diteliti dan dinilai semula.

Begitu juga perbahasan ahli politik di parlimen, ulasan pakar-pakar dalam bidang ekonomi ini perlu dipandang dan diambil tindakan kerana ia bukan sahaja mendatangkan pulangan yang baik kepada rakyat, tetapi juga kepada negara.

Oleh: Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia