Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia digesa supaya pempertimbangkan semula cadangan untuk mengenakan cukai ke atas produk rokok dan tembakau yang dijual di semua kedai bebas cukai di Pulau Langkawi.

Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Cawangan Langkawi) berkata, pelaksanaan cukai eksais ke atas rokok dijangka menjejaskan pengendali hotel bajet dan juga peruncit yang beroperasi di zon bebas cukai sebagai sumber utama pendapatan mereka.

Pengerusi MyBHA (Cawangan Langkawi), Datuk Noorazly Rosly berkata, cadangan itu menjadikan rokok lebih mahal dan bakal mendorong sindiket jenayah untuk membawa masuk rokok seludup yang disasarkan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong.

Ini akan membawa kesan sosio-ekonomi negatif yang dikaitkan dengan perdagangan rokok seludup, katanya.

”Kebanyakan ahli-ahli kami mempunyai kedai runcit atau kedai serbanika di dalam hotel mereka. Dengan mengenakan cukai terhadap barangan yang popular tersebut, jumlah jualan dan hasil pendapatan pasti merudum.

”Pengendali hotel bajet sudah pun hampir gulung tikar kesan daripada pandemik Covid-19. Setiap satu sumber hasil langsung dan tidak langsung amat bernilai bagi kami.

“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan tidak melaksanakan cukai yang akan menambah kesulitan hidup kami.

“Sebaliknya memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang akan membantu ahli-ahli kami meneruskan kesinambungan hidup dan akhirnya turut sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di pulau bebas cukai ini,” tambah beliau.

Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, cukai akan dikenakan ke atas produk rokok dan tembakau di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon bebas yang telah diberi kebenaran penjualan runcit rokok-rokok bebas cukai.

Selain itu, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milileter.

Mulai 1 Januari 2021 juga, kerajaan akan mengenakan langkah membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, mengetatkan pembaharuan lesen import rokok dan mengehadkan aktiviti penghantaran rokok kepada pelabuhan tertentu.

Noorazly menambah, rokok seludup tidak pernah menjadi masalah besar di pulau bebas cukai seperti Langkawi.

”Mengapa perlu sesiapa membeli produk kontraban sedangkan kos produk sah adalah sama?. Lagipun melaksanakan cukai ke atas rokok di pulau ini bermakna mewujudkan pasaran baharu dan belum diteroka bagi sindeket rokok seludup.

”Memandangkan lanskap operasi yang mencabar sekarang, kami tidak mahu kehilangan pelancong disebabkan persepsi dan pengalaman tidak menyeluruh nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette