Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,210 kes baharu positif Covid-19 hari ini manakala jumlah kes aktif adalah 13,806.

Bilangan kes terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif bagi kes positif adalah 49,730 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan kes tinggi iaitu 518 berbanding Sabah sebanyak 499 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 435 kes (84.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster. Sebanyak 206 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur adalah daripada Kluster Tapak Bina Damanlela yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara.

“Sebanyak 142 kes (52.4 peratus) yang dilaporkan di Selangor pula adalah daripada Kluster Teratai yang melibatkan 131 (92.3 peratus) bukan warganegara. Kedua-dua kluster ini merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Daripada kesemua jumlah kes positif ini, sebanyak 19 kes merupakan kes import.

Manakala Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 1,018 kes telah pulih daripada wabak berkenaan hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 36,624 kes atau pun 73.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.

Sehingga kini,  sebanyak 105 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi manakala 40 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hisham turut memaklumkan terdapat lima kematian direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini akibat Covid-19 di antara 25 hingga 59 tahun.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 318 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.-MalaysiaGazette