Persembahan pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2020 di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu. foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang mendedahkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) kepada umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek perundangan.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek perundangan, memandangkan isu, kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal serta membabitkan perkara sensitif berstatus rahsia rasmi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang meminta pendirian kerajaan sama ada akan mendedahkan laporan akhir JKK MA63 kepada umum.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, Arkib Negara Malaysia (ARKIB) tidak mempunyai kuasa untuk mendedahkan rekod dokumen berkaitan Majlis Gerakan Negara (Mageran) kepada umum.

Beliau berkata, ini kerana pemilikan dan butiran berkaitan rekod itu masih di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Untuk makluman, Ahli Yang Berhormat, rekod dokumen Mageran ada di bawah simpanan atau pegangan Arkib. Namun, pemilikan dan sebarang butiran dalam rekod terbabit masih di bawah bidang kuasa MKN dan PDRM.

“Oleh yang demikian, Arkib tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pembukaan rekod itu kepada orang awam. Arkib hanya bertanggungjawab membuka fail-fail rasmi (arkib awam) yang bertaraf ‘terbuka’ untuk rujukan orang awam,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang bertanya sama ada kerajaan akan mendedahkan laporan penyiasatan berkaitan kertas kerja, minit mesyuarat dan sebagainya oleh Mageran pada tahun 1969 kepada orang awam. – MalaysiaGazette