Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mewujudkan skim i-Sinar untuk membenarkan pencarum mengeluarkan duit daripada Akaun 1.

Bagaimanapun, beliau meminta KWSP memperluaskan skim i-Sinar kepada golongan yang pendapatannya telah turun mendadak akibat Covid-19 dengan membuka skim ini kepada sesiapa pendapatannya terjejas.

Ini kerana, katanya, syarat kelayakan untuk skim ini hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau sudah tiada sumber pendapatan.

Oleh sebab itu, KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli sahaja akan menerima manfaat daripada skim i-Sinar dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM14 bilion.

Jumlah itu berbeza dengan anggarannya sebanyak 4.7 juta ahli akan mengeluarkan jumlah sehingga maksimum RM47 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, KWSP perlu faham bahawa ia tidak boleh hanya mensasarkan kepada pencarum yang hilang kerja sahaja.

Ini kerana, golongan paling besar yang terjejas adalah mereka yang pendapatan bulanan mereka berkurangan akibat gaji dipotong, service points/komisien berkurangan serta jumlah hari bekerja atau kerja lebih masa dipotong.

Disebabkan itu, ramai pekerja tidak boleh hidup dengan bergantung kepada gaji asas sahaja.

”Pendapatan bulanan mereka turun tetapi komitmen dan tanggungan bulanan mereka tetap tinggi. Golongan ini perlu diambil kira juga. Jangan dicicirkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Najib berkata, KWSP tidak boleh terlalu bersyarat kerana tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim i-Die bagi golongan yang tidak layak hanya sebab mereka tidak hilang kerja walaupun sudah amat terdesak setelah pendapatan mereka turun akibat Covid-19.

”Jangan sampai ramai yang sengaja berhenti kerja atau sengaja dibuang kerja sebab mereka mahu layak untuk memohon skim i-Sinar,” tambahnya. – MalaysiaGazette