Sehingga Mei 2021, sebanyak 70 kilang telah diarahkan untuk ditutup kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KLANG – Kira-kira 13,190 pekerja kelihatan masih bekerja seperti biasa di syarikat pengeluar sarung tangan, Top Glove, meskipun asrama pekerjanya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar penginapan pekerja Top Glove yang terletak di Meru, hari ini mendapati operator pengeluaran sarung tangan getah itu masih boleh keluar dan masuk dari asrama pekerja yang terletak kira-kira 500 meter dari kilang terbabit.

Berbanding PKPD di kawasan lain, penghuni di sini masih dibenarkan keluar bekerja walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 215 kes positif Covid-19 di asrama pekerja syarikat tersebut.

Keadaan agak berbeza sejak semalam apabila beberapa petugas KKM yang lengkap berpakaian peralatan pelindungan peribadi (PPE) kelihatan berada dalam asrama pekerja lelaki Top Glove.

Walaupun kawat besi hanya diletakkan selepas jam 12 tengah malam, namun pekerja-pekerja Top Glove yang majoritinya warga asing kelihatan berkumpul di dewan terbuka asrama lelaki bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan tugas pemeriksaan saringan kepada pekerja kilang Top Glove semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di asrama Kilang Top Glove, Meru, Klang. foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2020.

Namun keadaan sebaliknya sejak jam 7.30 pagi tadi apabila puluhan pekerja Top Glove yang menaiki basikal dan berjalan kaki masuk ke dalam asrama, dipercayai baru habis syif kerja di kilang berdekatan.

Bagaimanapun pekerja-pekerja yang pulang ke asrama perlu melalui laluan khas yang dikelilingi dengan kawat duri dan disoal siasat serta melalui pemeriksaan anggota keselamatan sebelum dibenarkan masuk.

Rata-rata pekerja Top Glove yang pulang ke asrama yang terletak di Jalan Abadi dan Jalan Puding di sini kelihatan memakai pelitup dan pelindung muka lut sinar.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan asrama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika Tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru. foto AFIQ HAMBALI, 17 NOVEMBER 2020

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan asrama pekerja Top Glove dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dibuat selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Pelaksanaan PKPD bermula 17 hingga 30 November di kawasan Jalan Abadi, Klang itu membabitkan 13,190 pekerja yang tinggal di asrama lelaki dan wanita.

Langkah itu bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan kepada semua penghuni asrama dan penduduk.

Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8. – MalaysiaGazette