Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sebanyak 660 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 50,390 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan berjumlah 12,814 kes.

Sabah kembali mencatatkan kes tertinggi, sebanyak 387 kes atau 58.6 peratus daripada keseluruhan kes positif, manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 173 kes positif iaitu penurunan sebanyak 345 kes atau 66.6 peratus daripada sejumlah 518 kes positif yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 173 kes positif yang dilaporkan di ketiga-tiga negeri Lembah Klang ini, sebanyak 77 kes atau 44.5 peratus adalah daripada kes kluster-kluster yang telah dikenal pasti.

Jelasnya, sebanyak 171 kes atau 25.9 peratus adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

Menurut beliau, ia melibatkan Kluster PTS Tawau sebanyak 135 kes diikuti Kluster GK Tawau (12 kes), Kluster Tembok (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes), Kluster Matambai (4 kes) dan Kluster Penjara Sandakan sebanyak satu kes.

“Daripada 660 kes baharu pada hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kes-kes tersebut melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang tiba dari Turki iaitu dua kes, India dan Arab Saudi masing-masing satu kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19.

Ujar beliau, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 322 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sementara itu, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih sebanyak 630 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 37,254 kes atau 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette