Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka melaksanakan gelembung perjalanan (travel bubble) di dalam negara tidak lama lagi meskipun kebanyakan negeri sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bukan sahaja menghalang rentas negeri malah tidak boleh melakukan aktiviti rentas daerah tanpa sebab yang kukuh.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, secara dasarnya cadangan untuk melaksanakan gelembung perjalanan itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Jelas beliau, gelembung perjalanan itu amat penting di dalam menghidupkan semula aktiviti pelancongan domestik serta menyelamatkan penggiat-penggiat industri berkenaan yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19 dan sekatan perjalanan.

“MOTAC memohon untuk dibenarkan rentas daerah ini dan pengelesan zon merah, kuning dan hijau dibuat semula.

“Sebagai contoh, sekiranya berlaku kes Covid-19 yang banyak seperti di Top Glove, janganlah satu daerah itu diletakkan sebagai zon merah.

“Sepatutnya, kawasan Top Glove sahajalah dikategorikan zon merah manakala kawasan lain boleh diletakkan sebagai zon hijau.

“Dengan itu, kawasan merah diberi kawalan yang lebih ketat manakala kawasan zon lain diberi sedikit kelonggaran dari segi pergerakan.

“Namun pematuhan prosedur standard operasi (SOP) lain seperti penjarakan fizikal, SOP di dalam kereta atau di kedai makan masih perlu dilakukan,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media mengenai Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Belanjawan 2021 di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2020.

Menurut Nancy, meskipun Tan Sri Muhyiddin dan Majlis Keselamatan Negara secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan gelembung perjalanan namun masih banyak SOP-SOP berkaitan yang masih lagi diperhalusi.

Katanya, beliau sangat berharap supaya proses menghalusi SOP terbaharu itu tidak mengambil masa yang terlalu lama kerana industri pelancongan perlu dihidupkan dengan segera sebelum semakin banyak kerugian yang perlu ditanggung.

“Ini cara MOTAC membantu penggiat industri pelancongan dan dalam masa sama membantu rakyat biasa yang mahu melancong di dalam negara tetapi tersekat dengan peraturan-peraturan di bawah PKPB ini.

“Ini merupakan satu keputusan besar kerajaan dalam membantu industri pelancongan meneruskan aktiviti mereka.

“Kami di MOTAC mempunyai peruntukan yang diberi kerajaan tetapi ia tidak berguna jika tidak dapat diturunkan kepada industri bagi memulihkan semula sektor berkenaan,” tegasnya.

Menurut Nancy, selama ini kerajaan telah bersedia dengan peraturan dan garis panduan untuk melaksanakan gelembung perjalanan luar negara pada bila-bila masa sebaik sahaja pintu sempadan di buka.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah terfikir untuk melaksanakan gelembung perjalanan di dalam negara.- MalaysiaGazette