KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah program i-Sinar disifatkan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai tindakan yang tepat pada masanya.

Presidenya Jufitri Joha berkata, ini membuktikan keluhan rakyat yang majoriti sedang berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan hidup akibat pandemik Covid-19 didengari dan difahami kerajaan.

Mengulas lanjut, MBM katanya menerima aduan orang ramai yang  memerlukan wang daripada Akaun 1 itu untuk melangsaikan hutang semasa khususnya selepas pendapatan terjejas sejak Mac lalu.

“Kerajaan mengambil tindakan ini mengambil kira falsafah KWSP untuk memelihara simpanan masa depan rakyat Malaysia, dalam masa yang sama mereka terpaksa mengimbangi desakan dan permintaan rakyat yang bawah yang sedang menderita untuk mereka boleh menggunakan Akauan 1 untuk stabilkan kehidupan mereka.

“Kalau dapat sejumlah wang daripada Akaun 1 ini, sekurang-kurangnya mereka boleh selesaikan hutang-hutang semasa untuk  fokus kepada kehidupan sekarang.

“Mereka harapkan duit ini untuk selesaikan hutang-hutang dan gunakan sebagai modal asas perniagaan untuk memulakan hidup baru, itu tujuan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Namun Jufitri tidak menafikan ada segelintir kumpulan yang tidak terjejas cuba mengambil kesempatan ini pada awalnya.

Walau bagaimanapun beliau yakin, garis panduan pelaksanaan i-Sinar ini akan dilaksanakan dengan jayanya bermatlamatkan membantu rakyat yang memerlukan.

Sebanyak 2 juta ahli KWSP dijangka layak membuat pengeluaran Akaun 1 di bawah program i-Sinar dengan kelayakan pencarum yang  kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Dianggarkan sejumlah RM14 bilion tersedia untuk ahli-ahli yang layak dan permohonan boleh dibuat bermula Disember tahun ini.-MalaysiaGazette