Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Arabath Arul Alavudeen ketika sidang media berkaitan dengan industri perkahwinan di Emerald Avenue, Batu Caves. foto AFIQ HAMBALI, 17 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat menyediakan dana atau geran untuk pengusaha menukar ke bidang perniagaan yang bersesuaian daripada bidang perkahwinan.

Setiausaha Agungnya, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, ini kerana penyediaan dana itu akan memboleh pemain dalan industri perkahwinan dapat mulakan perniagaan baharu secepat mungkin.

“Kami dari PPMPM mempunyai data yang cukup jelas yang mana dianggarkan sebanyak 150,000 majlis perkahwinan masih tertangguh di seluruh negara semenjak Perintah Kawalan Pergerakan sejak April lalu.

“Hanya lima peratus sahaja yang melangsungkan perkahwinan atau pernikahan mereka melalui online dan yang baki perkahwinan masih menunggu untuk melangsungkan perkahwinan selepas keadaan pulih.

“Ini menunjukan majlis keramaian adalah budaya masyarakat Malaysia yang tidak dapat dihapuskan dengan perkembangan teknologi atau pandemik yang bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, pemain industri perkahwinan yang terkesan kerana prosedur operasi standard (SOP) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dicadang bertukar kepada bidang perniagaan lain yang lebih bersesuaian buat masa ini.

Beliau berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan berikutan suasana perkahwinan di negara ini telah berubah selaras dengan kebiasaan baharu.

Wan Junaidi berkata, meskipun 36,000 syarikat ditutup sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, statistik turut mencatatkan 82,000 pendaftaran perniagaan baharu.

“Dalam keadaan sedemikian, semua sudut alam perkahwinan ini telah berubah. Maka sepatutnya, saya mencadangkan mereka patut migrate (pindah) daripada satu bisnes kepada satu bisnes yang lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkenaan langkah khusus kementerian membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan. – MalaysiaGazette