Foto Instagram Chef Wan.

KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Chef Wan cukup dikenali mengutamakan ibunya, Noraini Abdullah dan kali ini tidak berkira berbelanja membeli untuk wanita itu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Chef Wan berkongsi cerita mengenai pakaian harian ibunya yang ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal iaitu Calvin Thoo.

“Alhamdulillah semua baju Kedah ibu untuk pakaian hariannya sudah pun disiapkan oleh pereka fesyen Calvin Thoo.

“Saya pergi ambil di kedainya di Jalan Imbi semalam. Emak kata sangat selesa pakai, jahitan dan kain pun sejuk sahaja Wan. Tengoklah siapa yang pilih emak, sambil saya usiknya!” cerita Chef Wan, 62, di media sosialnya,

Bapa kepada pelakon Serina itu turut memuat naik foto ibunya Noraini atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Ani mencuba baju kurung Kedah yang siap dijahit.

Dalam pada itu, Chef Wan memberitahu baju basahan itu akan dipadankan dengan 15 kain batik pelbagai corak manakala pakaian lama yang sudah lusuh akan disimpan.

Gara-gara terlalu gembira dengan pemberian itu, Chef Wan mendedahkan ibunya telah mencuba pakaian tersebut secara sembunyi pada waktu malam.

“Dengan 15 batik sarung baharu untuk dipadankan, yang mana dah lusuh dan reput itu boleh disimpan asing buat masa ini.

“Dia sangat gembira dapat pakaian tersebut dan tak sabar nak tengok malam tadi, tapi saya minta tunggu waktu pagi.

“Pagi ni siang-siang dah naik bilik saya katanya… emak dah cuba tadi masa kau tidur! Cantik-cantik baju baharu emak. Terima kasih,” ceritanya.

Sebelum ini, Chef Wan sering berkongsi perjalanan kisah dia bersama ibu yang kini
disahkan menghidap kanser payudara pada usia 89 tahun. – MalaysiaGazette