KUALA LUMPUR – Nisbah jenayah indeks per 100,000 penduduk di Malaysia pada 2019 bertambah baik iaitu 256.6 berbanding 273.5 pada 2018.

Nisbah jenayah indeks bagi semua negeri mencatatkan penurunan kecuali Pulau Pinang (3.7%), Sarawak (4.2%) dan Terengganu (1.3%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tujuh buah negeri merekodkan nisbah jenayah indeks bawah paras nasional pada 2019 iaitu Sarawak (214.6), Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3) dan Sabah (143.5).

Jenayah rogol dan mencederakan masing masing meningkat 5.5 peratus dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, peratus samun dan bunuh menurun 5.3 peratus dan 4.0 peratus pada tempoh yang sama.

Peratus pecah rumah dan curi meningkat 4.8 peratus pada 2019 manakala, tiga kes jenayah yang lain menurun iaitu kecurian kenderaan (14.1%), curi ragut (86.2%) dan kecurian lain (1.7%).

Pada 2019, didapati bilangan tangkapan penagih dadah menurun berbanding 2018 di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis.

Bilangan tangkapan penagih dadah tertinggi direkodkan di negeri Kedah (3,582 orang) diikuti Kelantan (2,998 orang) dan Pulau Pinang (2,893 orang) pada 2019.

Menurutnya, bilangan tangkapan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat 23.2 peratus pada 2019 berbanding 2018.

Pada 2019, tangkapan bagi kesalahan memberi rasuah meningkat 79.0 peratus diikuti tuntutan palsu 35.8 peratus.

Manakala, tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan masing-masing menunjukkan penurunan pada kadar 24.7 peratus dan 9.8 peratus.

Sementara itu, bilangan tangkapan tertinggi yang diperoleh daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkaitan perairan mengikut akta terpilih pada 2019 adalah tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985 (603 kes) diikuti Akta Imigresen 1959/63 (167 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (132 kes) dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (94 kes).

Mohd Uzir berkata, bilangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang terlibat dengan jenayah menurun 8.7 peratus daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada 2019.

Kanak-kanak lelaki yang terlibat dengan jenayah turut menurun 9.2 peratus manakala kanak-kanak perempuan kekal sama seperti tahun sebelumnya iaitu 290 kes.

Namun bilangan kemasukan banduan sabitan pula meningkat 17.9 peratus pada 2019 (138,044 orang) berbanding 2018 (117,090 orang) dengan Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi iaitu 40,882 orang diikuti Sabah (15,695 orang), Johor (14,297 orang) dan Pulau Pinang (10,050 orang).”

Berdasarkan statistik pada tahun 2019 yang dikeluarkan, majoriti mereka yang terlibat dengan jenayah adalah lelaki dengan peratus penagih dadah lelaki (95.7%), tangkapan kesalahan rasuah lelaki (82.9%), kanak-kanak lelaki yang terlibat dengan jenayah (94.0%) dan peratus kemasukan banduan sabitan lelaki (89.5%). – MalaysiaGazette