nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan supaya menyerap kakitangan kru kabin yang telah diberhentikan kerja diambil untuk membantu barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.

Cadangan itu telah dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) memandangkan kakitangan-kakitangan berkenaan amat memerlukan pekerjaan.

Sekretariat NUFAM dalam kenyataannya berkata, kakitangan terbabit semua telah dilatih sepenuhnya dan mempunyai pengalaman cukup luas untuk membantu barisan hadapan kerajaan.

“Dengan adanya peluang ini, kakitangan kru kabin boleh membantu mana-mana bahagian barisan hadapan termasuk polis bantuan dan Rela.

“Kru kabin ini telah diberi latihan dari segi mental dan fizikal untuk menjaga keselematan penumpang di dalam pesawat dan berada dalam situasi kecemasan,” katanya.

Tambah Sekretariat NUFAM, kemahiran dan daya minda mereka tinggi dalam menghadapi masa dan keadaan cemas amat diperlukan oleh ramai pihak.

Malah, mereka juga tidak memerlukan latihan penuh kerana sudah ada pengalaman lama dalam bidang barisan hadapan.

NUFAM berharap Kerajaan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil perhatian kepada cadangan ini, katanya. – MalaysiaGazette