Mohd Zolkafly Harun

IPOH – Semua rumah pam sedia ada dan bakal dibina di Perak perlu mempunyai sistem penggera keselamatan banjir automatik bagi memberi amaran awal mengenai bencana itu kepada penduduk sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bagi rumah pam sedia ada, ia perlu dinaik taraf dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya berbanding diesel ketika ini.

“Ini penting kerana banjir kilat sering berlaku pada waktu tengah malam atau awal pagi ketika orang ramai sedang tidur. Jadi dengan adanya sistem amaran ini, bila paras air melebihi paras bahaya siren akan berbunyi dan beri amaran kepada penduduk sekitar supaya mengambil langkah sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, taburan hujan luar biasa kebelakangan ini menyebabkan beberapa daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama (LMS), Hilir Perak, Kerian dan Kinta dilanda banjir kilat dan ia sesuatu yang membimbangkan.

Mengenai banjir di daerah Kinta yang melanda Kampung Seri Kinta, Lahat di sini, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya telah mengarahkan satu sistem pam berkuasa tinggi dibina bersebelahan rumah pam sedia ada dalam masa enam bulan bagi mengurangkan bencana alam di kawasan itu.

Mohd Zolkafly berkata selain itu, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) bagi mendapatkan syarikat yang boleh melakukan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Kinta selain dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran sendiri.

“Ini akan melibatkan kerja-kerja mengorek pasir dan pasir itu kemudian boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk industri. Apabila sungai didalamkan maka ia dapat membantu mengurangkan risiko banjir,” katanya.

“Semua cadangan dan usaha penambahbaikan ini akan diangkat dan dibincangkan bersama dalam mesyuarat Exco kerana kerajaan tidak boleh lambat bertindak demi memastikan isu rakyat dapat diselesaikan,” katanya.

Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 246 penduduk dari daerah LMS, Kerian dan Hilir Perak kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS). – Bernama