Penyanyi, Alif Satar.

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Alif Satar disahkan positif Covid-19.

Ia diakui sendiri olehnya dalam status Instagramnya hari ini dengan memuat naik gambarnya memakai pakaian pesakit hospital.

“Assalamulaikum, dalam kesibukan Alif menjalankan penggambaran, Alif telah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19. Malangnya keputusan terkini yang baru Alif terima hari ini telah menunjukkan bahawa Alif didapati positif Covid-19 dan perkara ini amatlah mengejutkan dan mendukacitakan,” katanya yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara.

Menurut Alif, perkara pertama selepas menerima keputusan saringan itu, beliau memastikan tahap keselamatan keluarga, isteri dan anak-anaknya.

Begitu juga dengan rakan-rakannya di set penggambaran dan kontak rapat yang berjumpa dengannya dengan memberikan nama mereka kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, katanya.

Justeru beliau yang kini dalam proses kuarantin meminta maaf dan memohon semua pihak mendoakan kesembuhannya.- MalaysiaGazette