Jumlah individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib sehingga semalam berkurangan kepada 10,000 orang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Proses kuarantin wajib bagi rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa masih diteruskan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 72,182 individu telah pulang ke tanah air dan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari.

Katanya, semua mereka menjalani tempoh kuarantin itu di 74 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 61,923 sudah habis menjalani tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang manakala 9,855 individu lagi masih menjalani proses itu sehingga hari ini dan 404 individu lagi dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan mencukupi.

Menurut beliau, KPDNHEP telah membuat sebanyak 673 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan bagi memastikan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan, selain mudah diperolehi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam sahaja, kata beliau, pemantauan dilakukan ke atas 482 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang.

“Selain itu, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan sebanyak 1,045 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,042 premis telah mematuhinya.

“Hanya tiga premis diberikan nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – MalaysiaGazette