KUALA LUMPUR – Siaran langsung Muzik-Muzik 35 Separuh Akhir yang sepatutnya diadakan malam ini ditunda ekoran seorang artis yang terlibat didapati positif Covid-19.

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dalam satu kenyataan berkata, ia ditunda kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

STMB hari ini dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa seorang artis yang menyertai program Muzik Muzik 35 Separuh Akhir yang telah berlangsung sejak 20 November hingga 21 November telah dijangkiti Covid-19 dan beliau kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

“Penyanyi terbabit yang membuat persembahan pada 20 November telah menjalani ujian saringan Covid-19 setelah mengetahui kontak rapat yang ditemuinya pada 17 November 2020 lalu didapati positif semalam.

“Artis tersebut terus menjalani ujian mandatori Covid-19 yang dikendalikan oleh KKM pada 21 November dan disahkan positif Covid-19 hari ini. STMB sedang bekerjasama rapat dengan KKM dan juga artis terbabit untuk mendapatkan maklumat terperinci pergerakan beliau bagi langkah-langkah mengurangkan risiko kebarangjangkitan, kepada warga kerjanya dan semua yang terlibat dalam program Muzik Muzik 35 Separuh Akhir,” kata kenyataan yang sama.

Sebelum itu, selebriti Alif Satar mengumumkan beliau didapati positif Covid-19 dan kini dikuarantin di hospital . Alif sebelum itu terlibat dalam program anjuran TV3.

Dalam pada itu, kerja-kerja sanitasi di lokasi terbabit juga dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard oleh KKM.

STMB sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan juga pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP yang ditetapkan oleh pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kakitangan yang terlibat dalam produksi tersebut telah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula hari ini. Kakitangan STMB yang juga kontak rapat dengan artis terbabit turut menjalani ujian calitan Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette