Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membidas dakwaan seorang pejuang hak asasi manusia yang memfitnah dirinya tidak mempunyai integriti ketika menjalankan tugas dan mempertikaikan kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ayob Khan berkata beliau sedia menerima sebarang kritikan, namun tidak membenarkan tohmahan tidak berasas dilakukan oleh mana-mana pihak sehingga mencalarkan imej dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata hasil siasatan mendapati lelaki terbabit, K. Haridas, memiliki 10 laporan polis yang dibuat terhadapnya di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, berkaitan pelbagai kes di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu turut mempunyai sebuah pertubuhan yang tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Saya tiada masalah orang hendak kritik, itu biasa tetapi jangan buat fitnah, jangan buat kenyataan tidak berasas dan itu akan diambil tindakan,,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata kertas siasatan sudah dibuka terhadap Haridas yang antara lain mendakwanya tidak berintegriti kerana menggunakan agama untuk mencari nama.

Pada 20 Nov lalu, tular satu video di laman sosial Facebook Defend People’s Rights Group menampilkan seorang lelaki mendakwa integriti Ayob Khan dan kepimpinan Ketua Polis Negara.

Menerusi video sama,  lelaki berkenaan turut mendakwa pernah membuat aduan berhubung salah laku polis, namun tiada tindakan diambil.

— BERNAMA

2 Komen

  1. Bagus Ayub Khan ni, banyak kes2 jenayah, judi, pelacuran dan segala hal2 berkenaan kemaksiatan dapat dipatahkan. Harap dapat diberi lebih kuasa kepada beliau untuk menangani kes2 jenayah dinegeri2 seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor!

  2. PDRM PERLUKAN LEBIH RAMAI ANGGOTA SEPERTI DATO AYOB KHAN UNTUK MENAIKKAN SEMULA IMEJ PDRM YANG DAH BANYAK TERCALAR AKIBAT KELEMAHAN YANG ADA SEKARANG. SEHARUSNYA LAH DATO AYOB DIANGKAT MENJADI KETUA POLIS NEGARA YANG BARU.

Comments are closed.