Setiausaha Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Darwin Lim Chee Chien

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa pihak polis menghentikan segera penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap para pemimpin pelajar Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY).

Menurut Setiausaha Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Darwin Lim Chee Chien, sebaliknya pihak polis perlu membuat siasatan terhadap kes yang lebih serius seperti ugutan mati, rogol dan buli siber.

“Kami berpendapat bahawa Penggunaan Akta Hasutan terhadap UMANY, merupakan satu penindasan kepada kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

“Ini kerana persatuan berkenaan telahpun mengemukakan permohonan maaf atas kenyataan yang dikeluarkan mereka sebelum ini.

“Tindakan pihak PDRM jelas telah menimbulkan satu ‘ugutan’ kepada mahasiswa supaya mereka tidak bersuara terhadap isu-isu semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 13 November lalu, bekas presiden UMANY, Wong Yan Ke dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengingkari arahan polis ketika serbuan di sebuah rumah, 7 November lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengingkari arahan Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini, pada 7 November lalu.

Yan Ke didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Lim Chee Chien juga mendakwa pihak polis telah melanggar kedaulatan undang-undang negara kerana menjalankan siasatan terhadap UMANY di bawah Akta Hasutan.

“Ini kerana kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asas rakyat yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Lim Chee Chien memandang serius ke atas ugutan mati dan rogol yang diterima oleh anggota UMANY daripada individu yang tidak dikenali.

“Namun begitu, kami tidak nampak apa-apa langkah proaktif yang diambil oleh pihak polis untuk menjaga keselamatan mereka atau membuat siasatan terhadap ugutan yang diterima oleh mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette